Rabu, 26 Mac 2014

Tahukah Anda Bagaimana Keadaan Ahmad Jauhari? (CEO MAS)



TRAGEDI kehilangan pesawat MH370 pastinya dugaan paling besar buat Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya. Di dalam pesawat itu ada 12 anak buahnya, manakala 227 lagi adalah penumpang yang menggunakan perkhidmatan penerbangan nasional menuju ke Beijing dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Siapa pun tidak merancang jauh sekali mahu kejadian seperti ini berlaku, namun takdir mengatasi segala-galanya apabila Boeing 777-200ER itu disahkan terhempas di satu lokasi terpencil di tengah-tengah Lautan Hindi.

Sepanjang 16 hari sebelum ini termasuk pada sidang akhbar petang tadi, Ahmad Jauhari kelihatan tenang. Dengan penampilan yang amat ringkas, beliau menjawab setiap soalan wartawan tanpa langsung ada unsur untuk menokok tambah jauh sekali mahu mempolitikkan suasana yang amat tegang itu.

Namun, malam ini, keadaan berubah. Beberapa minit sebelum sidang akhbar bermula, beliau dilihat melangkah longlai sambil menundukkan kepala masuk ke dewan dengan wajah yang amat sugul.

Jika kebiasaannya beliau turut berada di atas pentas, kali ini hanya pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Pengarah Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman serta Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahmad Jauhari memilih untuk berada di bawah pentas. Sepanjang Najib membacakan kenyataannya, beliau tunduk. Di sebelahnya, Pengerusi MAS, Tan Sri Md Nor Yusof.

Sebaik kenyataan mengesahkan pesawat MH370 terhempas di tengah Lautan Hindi, Ahmad Jauhari kelihatan terlalu sedih. Beliau menangis apabila dipeluk oleh Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan.

Sesungguhnya tanggungan perasaan Ahmad Jauhari sangat berat. Tiada siapa mampu menyelami apa yang dirasainya bak kata pepatah berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

Jika kaum keluarga penumpang MH370 kehilangan paling ramai dua ahli dalam tragedi yang menyayat hati itu, Ahmad Jauhari hilang 12 anak buah serentak. Beliau juga kehilangan 227 penumpang selain terpaksa berhadapan dengan suasana yang amat menekan perasaan.

Selami hatinya dan fahami tanggungan Ahmad Jauhari, nilai juga air matanya yang tumpah. -


Individu Penting Ini Pertimbang Letak Jawatan Selepas Krisis Selesai!!!?

 

Ketua Eksekutif Penerbangan Malaysia (MAS), Ahmad Jauhari Yahya berkata segala keputusan sama ada beliau akan meletak jawatan dari MAS hanya akan dilakukan selepas krisis kehilangan pesawat MH370 ini selesai. 

"Adakah saya akan melepaskan jawatan saya ini, itu adalah keputusan peribadi yang hanya akan dilakukan selepas ini apabila segalanya selesai," kata beliau ketika ditanya pemberita pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau bersama-sama dengan Pengerusi MAS, Tan Sri Md Nor Yusof menerangkan bahawa perkara utama yang sangat penting untuk dilakukan pada saat ini ialah mencari pesawat tersebut yang disahkan hilang di kawasan selatan Lautan Hindi.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu sidang media tergemparnya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mengesahkan bahawa perjalanan pesawat MH370 itu telah berakhir di selatan Lautan Hindi.

Pengesahan itu dilakukan selepas menerima maklumat kedudukan terakhir pesawat itu yang didasarkan kepada maklumat daripada data satelit yang diberikan oleh syarikat Britain, INMARSAT dan Bahagian Penyiasatan Nahas Udara United Kingdom (AAIB) dan mendapati pesawat Boeing 777-200 itu telah terbang ke jalur selatan isyarat terakhir yang dikesan daripada pesawat itu.

Sementara itu, Ahmad Jauhari juga menegaskan bahawa meskipun terdapat banyak permintaan dari keluarga dan waris penumpang pesawat tersebut dari negara China untuk terbang ke Australia bagi mengikuti perkembangan pencarian pesawat tersebut, kebenaran visa untuk ke negara tersebut hanya akan diberi oleh pihak Australia apabila bukti-bukti sahih mengenai penemuan pesawat tersebut di sekitar perairan negara itu benar-benar dijumpai.

"Kami telah diberitahu oleh pihak berkuasa Australia bahawa visa hanya akan diberi atau dikeluarkan apabila bukti-bukti sahih terhadap pesawat tersebut telah berjaya di temui," katanya.

Pihak MAS kini telah menyerahkan sepenuhnya siasatan kehilangan kepada pihak berwajib.

Dalam pada itu, pihak MAS telah menyediakan program komprehensif sokongan kepada keluarga dan waris penumpang MH370 dimana seramai 700 kaunselor telah disediakan.

"Setiap keluarga akan disediakan dengan dua kaunselor ini dimana mereka ini akan memberi bantuan sokongan, kauseling emosi, dan kebajikan kepada mereka dan dalam masa 72 jam seramai 40 kaunselor lagi telah ditambah demi memberi membantu keluarga-keluarga yang ditimpa kesusahan ini," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan