Rabu, 5 Mac 2014

Kes bunuh Mona Fendi (Part 13)

AKU nak sambung lagi keterangan Mohd Juraimi Husin, tertuduh pertama kes bunuh Datuk Mazlan Idris di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1994.


Cerita ini ada aku ceritakan dalam posting yang lalu. Tetapi yang ini lebih terperinci. Aku kena buat transkrip percakapan mereka dalam mahkamah. Bayangkan berapa panjang mereka cakap. Kalau terlaju cakap terkial-kial aku nak 'figure out' apa benda dia cakap. Kalau salah catat, pembaca pun dapat maklumat salah.
Tapi aku ada cara sendiri, minta rujukan catatan peguambela atau pendakwa raya. Kadang kala mereka pun kelabu asap. Pinjam nota aku.Cara terakhir minta rujukan nota hakim. Part ni selalunya berat sikit - kena tahan telinga dan tebalkan muka - dengar 'syarahan' hakim dulu. Dah kerja nak buat macam mana.

Bukan itu aja perbuatan dan riak wajah mereka pun kita kena perhatikan. Dia senyum ke, menangis ke, ketawa ke, marah ke - semua kena 'dirakamkan'. Nampak macam real sebab pembaca tak tahu apa yang berlaku dalam mahkamah.

Berikut adalah petikan keterangan dalam kes pembelaan diri tertuduh ketiks disoal peguambelanya, Karam Singh Bahl (dia ni tak ada kena mengena dengan Karam Singh Wariar - betul ke eja nama dia. Juraimi dalam keterangan di mahkamah menceritakan dari mula dia mengenali pasangan bomoh Mohd Affandi Abdul Rahman dan Maznah Ismail atau Mona Fandey hingga kepada pembunuhan Mazlan.

KARAM: Pada Hari Raya Puasa tahun lalu (25 Mac 1993), bolehkah Juraimi beritahu apa yang berlaku?

JURAIMI: Raya ke berapa?

KARAM: Raya keempat.

JURAIMI: Kami (termasuk Affandi, Mona dan anak mereka, Mazdiana Affandey) berpindah ke (Kampung Peruas), Ulu Dong,Raub.

KARAM: Dari Tanjung Lumpur, Kuantan ke Ulu Dong?

JURAIMI: Ya.

KARAM: Siapa yang rancang perpindahan itu?

JURAIMI: Rancangan Affandi.

KARAM: Ada Affandi bincang mengenai rancangan itu denganJuraimi?

JURAIMI: Ada.

KARAM: Bagaimana?

JURAIMI: Affandi kata hendak pindah dari Tanjung Lumpur ke Ulu Dong.

KARAM: Affandi beritahu atau berbincang dengan Juraimi?

JURAIMI: Beritahu.

KARAM: Apa sebab hendak pindah ke Ulu Dong?

JURAIMI: Untuk beramal.

KARAM: Beramal untuk siapa?

JURAIMI: Arwah Datuk Mazlan.

KARAM: Siapa yang cadang pindah ke Ulu Dong?

JURAIMI: Affandi yang cadang untuk berpindah ke Ulu Dong.Dia hendak cari tempat sesuai untuk beramal kepada Datuk (Mazlan).

KARAM: Siapa yang pilih Ulu Dong? Mengapa tidak pilih tempat lain?

JURAIMI: Tempat itu sesuai.

KARAM: Untuk siapa?

JURAIMI: Untuk Affandi (pada jawapan ini Mona yang diam sejak Juraimi memberi keterangan mulai jam 9.54 pagi tersenyum).

KARAM: Tahukah Juraimi, tanah di Ulu Dong tanah siapa?

JURAIMI: Arwah Datuk Mazlan.

KARAM: Bagaimana tahu?

JURAIMI: Datuk Mazlan yang beritahu sendiri.

KARAM: Kepada siapa?

JURAIMI: Kepada Affandi.

KARAM: Adakah Datuk rancang apa-apa dengan Juraimi?

JURAIMI: Tiada. Saya hanya ikut saja.

KARAM: Juraimi ikut siapa?

JURAIMI: Saya ikut Affandi, dia kata pindah, saya pindahlah.

KARAM: Ketika berpindah ke Ulu Dong, ada rumah di situ?

JURAIMI: Langsung tiada rumah.

KARAM: Pada mulanya, tiada rumah, hidup mana-mana?

JURAIMI: Kami tinggal dalam khemah.

KARAM: Semua keempat-empat orang tinggal dalam khemah?

JURAIMI: Ya.

KARAM: Berapa lama tinggal dalam
khemah?

JURAIMI: Sebulan lebih.

KARAM: Selepas sebulan apa berlaku?

JURAIMI: Saya buat sebiji (sebuah) rumah.

KARAM: Bahan binaan untuk mendirikan rumah, siapa yang beli?

JURAIMI: Affandi dan Mona.

KARAM: Siapa yang keluarkan duit untuk membeli bahan-bahan itu?

JURAIMI: Di antara dua, kalau tak Affandi, Monalah.

KARAM: Ketika rumah itu dibina, ada Datuk Mazlan datang tengok?

JURAIMI: Ada juga.

KARAM: Ketika Datuk Mazlan tengok Juraimi mendirikan rumah,
ada dia bercakap apa-apa dengan Juraimi?

JURAIMI: Dia hanya cakap dengan Affandi dan Mona.

KARAM: Setiap kali Datuk Mazlan datang ke situ, dia cakap dengan siapa?

JURAIMI: Cakap dengan Mona dan Affandi.

KARAM: Setiap kali Datuk datang ke situ, ada cakap dengan Juraimi?

JURAIMI: Ada juga (ketika ini kedengaran Mona terbatuk).

KARAM: Sila beritahu mahkamah, apa yang Datuk Mazlan cakapkan kepada Juraimi?

JURAIMI: Datuk bertanya bila rumah nak siap.

KARAM: Selain itu ada Datuk Mazlan merancang dan berbincang
apa-apa dengan Juraimi?

JURAIMI: Dia bincang dengan Mona dan Affandi.

KARAM: Ada Juraimi terbabit dalam perbincangan itu?

JURAIMI: Tiada, saya sibuk dengan kerja saya.

KARAM: Ada Datuk Mazlan tolong Juraimi mendirikan rumah itu?

JURAIMI: Tiada.

KARAM: Mona dan Affandi ada tolong?

JURAIMI: Tolong naikkan siling rumah.

KARAM: Berapa lama bahagian dinding, lantai dan bumbung
siap?

JURAIMI: Satu bulan lebih.

KARAM: Apabila rumah siap, ada Datuk Mazlan datang. Apabila datang dia cakap dengan siapa?

JURAIMI: Ada, Datuk cakap dengan Mona dan Affandi.

KARAM: Biasanya berapa kali Datuk Mazlan datang ke rumah itu?

JURAIMI: Setiap minggu datang ke rumah itu.

KARAM: Hari apa Datuk Mazlan datang?

JURAIMI: Kadang-kadang pada hari minggu (Ahad) atau Sabtu.

KARAM: Apabila Datuk Mazlan datang, dia cakap dengan Mona dan Affandi.

Adakah pada bila-bila masa, Juraimi mendengar perbualan mereka?

JURAIMI: Tiada.

KARAM: Juraimi tahu tujuan Datuk Mazlan ke rumah itu?

JURAIMI: Tujuan Datuk ke rumah itu, saya tak tahu.

KARAM: Adakah Datuk Mazlan meminta ubat daripada mereka?

JURAIMI: Ada juga.

KARAM: Ubat apa, terangkan kepada mahkamah.

JURAIMI: Ubat dia macam serbuk.

KARAM: Mengapa Datuk meminta ubat itu, ada Juraimi tahu?

JURAIMI: Tidak.

KARAM: Berkenaan dengan pendawaian, nama dalam bil
cagaran untuk mendapatkan bekalan elektrik atas nama siapa?

JURAIMI: Atas nama saya.

KARAM: Siapa yang bagi wang untuk membayar cagaran itu?

JURAIMI: Mona bagi.

KARAM: Dari mana Mona mendapat duit itu?

JURAIMI: Saya sendiri tak tahu.

KARAM: Ketika di rumah di Ulu Dong, ada Juraimi dengar sesiapa minta wang daripada Datuk Mazlan?

JURAIMI: Ada.

KARAM: Siapa?

JURAIMI: Mona meminta wang daripada Datuk.

KARAM: Ada dengar berapa banyak?

JURAIMI: RM5,000.

(Peguambela Mona dan Affandi, Ghulam Mustaffa Nadar Ali Khan, bangun untuk membuatteguran).

GHULAM: Jika boleh saya berharap Encik Karam tidak membimbing saksi untuk menjawab soalan.

HAKIM: Saya tidak nampak begitu. Ada soalan yang tidak difahami saksi dan perlu diterangkan oleh peguambela.

KARAM: Ada Juraimi nampak sesiapa memberi wang kepada Mona?

JURAIMI: Ada, arwah Datuk Mazlan.

KARAM: Ada Juraimi tahu, berapa banyak?

JURAIMI: Tahu, RM5,000.

(Juraimi kemudian ditunjukkan bil cagaran mendapatkan bekalan elektrik).

KARAM: Bil ini adalah bil Tenaga Nasional Berhad untuk bayaran cagaran mendapatkan bekalan elektrik. Nampak berapa jumlah yang dicatatkan di situ?

JURAIMI: RM200.

KARAM: Duit RM200 itu, adakah Juraimi minta daripada Datuk Mazlan?

JURAIMI: Tiada.

KARAM: Siapa yang bagi duit itu kepada Juraimi?

JURAIMI: Mona.

KARAM: Selepas Mona terima RM5,000, lebih kurang dua minggu selepas itu, apa yang berlaku?

JURAIMI: (Juraimi terdiam seketika seolah-olah berfikir sesuatu dan menjawab)...selepas terima wang, Datuk ada datang pada 1 hari bulan malam (1 Julai 1993).

KARAM: Sebelum Datuk Mazlan ke rumah itu, ada apa-apa berlaku di rumah itu. (Juraimi hanya berdiam dan tidak menjawab soalan itu, dan Karam kemudian menyoal lagi).

KARAM: Lebih kurang seminggu sebelum Datuk Mazlan datang ke rumah itu, ada apa-apa persiapan dibuat di rumah itu?

JURAIMI: Ada.

(Ghulam bangun sekali lagi membantah cara Karam menyoal Juraimi kerana menyifatkan peguambela itu membimbing tertuduh pertama untuk memberi jawapan).

HAKIM: Saya faham maksud Encik Ghulam, tapi saksi tak faham soalan itu.

KARAM: Apa persiapan itu?

JURAIMI: Persiapan untuk kejadian itu (pembunuhan Datuk Mazlan).

(Juraimi kemudian memberitahu mahkamah bahawa Datuk Mazlan datang ke rumah pada 2 Julai 1993 bukan 1 Julai 1993 seperti yang diberitahunya sebelum ini).

KARAM: Apa persiapan itu?

JURAIMI: Persiapan seperti lubang, stor...

KARAM: Lagi.

JURAIMI: Kapak, parang, kayu, tayar.

KARAM: Lagi.

JURAIMI: Cukup.

KARAM: Persiapan itu dibuat atas arahan siapa?

JURAIMI: Atas arahan Affandi.

KARAM: Persiapan itu atas cadangan siapa?

JURAIMI: Cadangan Affandi dan Mona.

KARAM: Ada kamu mengambil bahagian dalam perbincangan mengenai persiapan itu?

JURAIMI: Tiada.

KARAM: Ada mereka berbincang dengan Juraimi untuk menjayakan rancangan itu?

JURAIMI: Tiada.

KARAM: Ada Juraimi tahu apa yang akan berlaku?

JURAIMI: Saya sendiri tak tahu.

KARAM: Ada Juraimi korek lubang?

JURAIMI: Ada, atas arahan Mona.

KARAM: Ikat batu pada dinding, arahan siapa?

JURAIMI: Atas arahan Affandi.

KARAM: Ada arahan lain daripada Affandi?

JURAIMI: Affandi suruh saya asah kapak.

KARAM: Tahu siapa asah parang?

JURAIMI: Ada dua parang, satu Mona asah dan satu lagi Affandi asah.

KARAM: Selepas kapak dan parang diasah, ada rancangan dibuatbersama Juraimi?

JURAIMI: Tiada. Saya hanya mengikut arahan Affandi.

KARAM: Apa arahannya?

JURAIMI: Seperti semua tadi, korek lubang, sediakan kayu, kapak, tayar.

KARAM: Berkenaan Datuk Mazlan, ada arahan untuk dia?

JURAIMI: Ada.

KARAM: Bagaimana?

JURAIMI: Affandi suruh saya tunggu Datuk datang.

KARAM: Ada Datuk Mazlan datang?

JURAIMI: Ada pada 2 hari bulan tujuh (2 Julai 1993).

KARAM: Apa jadi pada Datuk Mazlan pada malam itu?

JURAIMI: Pada lebih kurang jam 10 malam lebih, Datuk tiba di rumah itu dengan Affandi.

KARAM: Mereka datang dengan apa?

JURAIMI: Dengan kereta Datuk.

KARAM: Pada masa itu, di rumah ada berapa orang?

JURAIMI: Ada tiga orang.

HAKIM: Siapa?

JURAIMI: Saya, Mona dan Mazdiana.

KARAM: Sebelum Datuk Mazlan datang, ada sesiapa memberi arahan kepada Juraimi?

JURAIMI: Mona arahkan saya supaya standby (siap sedia) sebelum Datuk datang.

KARAM: Standby untuk apa?

JURAIMI: Untuk kejadian.

KARAM: Kejadian apa?

JURAIMI: Satu pembunuhan(ketika Juraimi memberikan jawapan ini jam di dinding mahkamah menunjukkan jam 12.08 tengah hari).

KARAM: Ketika Datuk Mazlandatang ke rumah itu dengan Affandi, siapa yang masuk dahulu ke dalam rumah?

JURAIMI: Apabila mereka tiba,saya buka pintu pagar.

KARAM: Siapa yang memandu
kereta itu?

JURAIMI: Arwah Datuk Mazlan.

KARAM: Siapa yang masuk dahulu dalam rumah?

JURAIMI: Affandi.

KARAM: Apa berlaku selepas itu?

KARAM: Apa Datuk Mazlan buat?

JURAIMI: Apabila Datuk masuk, Mona kata kepadanya: "Abang
(Affandi) ada menunggu dalam bilik itu"

KARAM: Ada Datuk Mazlan bawa
apa-apa?

JURAIMI: Satu briefcase.

KARAM: Ada nampak dia beri
briefcase itu kepada siapa?

JURAIMI: Tidak nampak.

KARAM: Ada Datuk Mazlan beri
briefcase itu kepada Juraimi atau
Juraimi memintanya daripada
Datuk Mazlan.

JURAIMI: Tiada.

KARAM: Juraimi tahu apa Affandi
buat dalam bilik itu?

JURAIMI: Sebab dia nak buat ibu
duit, ilmu duit (Affandi yang
duduk di kandang tertuduh dan tekun
mendengar keterangan
Juraimi tersenyum).

KARAM: Ketika Mona berkata: "Abang ada menunggu dalam
bilik,"
Juraimi ada dengar?

JURAIMI: Dengar.

KARAM: Apa berlaku selepas itu?

JURAIMI: Datuk masuk dalam bilik Affandi.

KARAM: Adakah Datuk Mazlan pernah masuk bilik itu?

JURAIMI: Tak pernah.

KARAM: Ketika Datuk Mazlan masuk bilik itu, Juraimi ada
di mana?

JURAIMI: Di bahagian dapur.

KARAM: Berapa jauh dapur dengan bilik air?

JURAIMI: Tidak jauh.

KARAM: Boleh Juraimi dengar perbualan dalam bilik itu (Affandi
dan Mazlan berada)?

JURAIMI: Tak boleh dengar.

KARAM: Dari tempat Juraimi berdiri, boleh nampak mereka?

JURAIMI: Tak nampak sebab ada pintu.

KARAM: Ada nampak mereka berdua keluar?

JURAIMI: Affandi keluar dahulu, kemudian Datuk.

KARAM: Selepas itu apa berlaku?

JURAIMI: Mona ada bertanya kepada Datuk sama ada dia ada
membawa kain atau tidak. Datuk jawab, ada bawa kain, ada
dalam kereta.

KARAM: Ada Datuk Mazlan keluar selepas itu?

JURAIMI: Datuk Mazlan kemudian keluar untuk mengambil kain.

KARAM: Apa jadi kemudian?

JURAIMI: Selepas itu Affandi membuka baju dan terus pakai
kain.

KARAM: Selepas itu?

JURAIMI: Affandi terus mengambil satu blanket (selimut) terus
masuk bilik air dan membawa dua biji bantal (Affandi sekali lagi
kelihatan tersenyum mendengar keterangan ini).

KARAM: Apabila Datuk Mazlan datang ke rumah, apa dia buat?

JURAIMI: Sebelum Datuk masuk, dia memetik bunga orkid
di luar rumah.

KARAM: Datuk Mazlan bagi pada siapa?

JURAIMI: Datuk pegang dan kemudian beri pada Mona.

KARAM: Apa berlaku seterusnya?

JURAIMI: Sebelum Datuk masuk bilik air, Mona suruh buka baju
dan seluar dan pakai kain saja...kecuali seluar dalam. (Mereka
yang berada dalam mahkamah ketawa berderai).

KARAM: Ada sesiapa yang suruh Datuk Mazlan masuk bilik air?

JURAIMI: Mona suruh.

KARAM: Selepas itu?

JURAIMI: Saya bangun ke dapur.

KARAM: Ada Datuk Mazlan keluar dari bilik air?

JURAIMI: Tidak.

HAKIM: Bilik air mana?

JURAIMI: Bilik air yang Datuk masuk.

HAKIM: Ketika itu Affandi di mana?

JURAIMI: Dalam bilik air.

KARAM: Selepas itu?

JURAIMI: Selepas itu, Mona, Affandi dan Datuk ada dalam bilik
air.

KARAM: Ada dengar apa-apa?

JURAIMI: Saya mendengar Affandi berkata kepada Datuk...
(terdiam).

KARAM: Cerita depan Yang Arif.

JURAIMI: (Affandi kata) Datuk baring, nanti ada suara ghaib
berkata, duit sebanyak ini jatuh. (Mona tersenyum mendengar
cerita Juraimi).

KARAM: Apa jadi.

JURAIMI: Sebelum baring, Datuk ada cakap: "Saya tidak boleh
tahan dongak lama-lama."

KARAM: Datuk cakap kepada siapa?

JURAIMI: Kepada Affandi dan Affandi menjawab: "Sekejap aje."

KARAM: Jadi Datuk Mazlan terus baring?

JURAIMI: Datuk terus baring.

KARAM: Ada lampu pada masa itu?

JURAIMI: Lampu elektrik dipasang di bilik air. Ada lilin.

KARAM: Selepas itu apa berlaku?

JURAIMI: Datuk sudah baring, Mona ada meletakkan bunga
pada dahi Datuk. Affandi duduk sebelah Mona dan ketika duduk
Affandi menutup mata Datuk dengan tangannya. Selepas ditutup,
Affandi nampak lampu cerah dan tutup.

Kemudian nyalakan lilin. Setelah lampu padam dan lilin
dinyalakan, Affandi duduk balik di sebelah Mona. Setelah itu,
Affandi menutup semula mata Datuk dengan tangan dan
memanggil saya dengan isyarat tangan. Ketika saya masuk,
anaknya, Mazdiana terjaga dari tidur.

Selepas itu, saya keluar balik. Affandi terus bangun
mendapatkan anaknya dan selepas anaknya tidur, Affandi
berjumpa saya.

Ketika berjumpa saya, Affandi berkata: "Rong (singkatan
panggilan Gondrong), kalau tetak biar kena tepat, jangan salah
tempat. Kalau tidak habis kita."

KARAM: Ketika Affandi keluar untuk menjaga anaknya, Mona
di mana?

JURAIMI: Ada di situ bersama Datuk.

KARAM: Apabila Affandi balik ke bilik air itu apa dia buat?

JURAIMI: Affandi terus duduk di tempat asal dan menutup
semula mata Datuk. Affandi panggil saya dengan isyarat tangan
dan saya terus masuk ke bilik itu dan tetak bahagian leher.

KARAM: Dengan apa (menetak kepala Datuk Mazlan)?

JURAIMI: Kapak.


(Pada masa ini, jurubahasa mahkamah mengeluarkan kapak
yang dikemukakan di mahkamah selepas mendapat arahan
Karam. Ghulam kemudian bangun).

HAKIM: Saya tahu Encik Ghulam. Tak perlu keluarkan (kapak)
dahulu, tunggu arahan peguambela. Jangan tunjukkan dulu
pada saksi. Takut juga Encik Ghulam, juri pun takut juga.
(Bilik mahkamah sekali lagi berderai dengan ketawa).

KARAM: Ini kapak yang digunakan? (menunjukkan kapak itu
yang diletakkan di atas meja peguambela dan pendakwaraya).

JURAIMI: Ya, ini kapak yang digunakan.

KARAM: Siapa yang memiliki kapak ini?
JURAIMI: Ini kira, Affandi yang beli.

KARAM: Selepas tetak bahagian leher, apa jadi kepada Affandi
dan Mona?

JURAIMI: Saya tetak tiga kali, selepas itu baru kepala putus.

HAKIM: Kepala siapa?

JURAIMI: Kepala Datuk (jawapan itu membuatkan mereka yang
berada dalam mahkamah sekali lagi ketawa kerana jawapan itu
mungkin juga merujuk kepada Hakim Datuk Mokhtar Sidin.
Menyedari itu Juraimi terus menjawab Datuk Mazlan).

JURAIMI: Affandi dan Mona pun bangun. Affandi terus
mengarahkan saya potong bahagian sendi-sendi. Affandi suruh
lapah sekali dan selepas lapah, Affandi terus keluar ke bilik air
lain.

KARAM: Ada sesiapa masuk bilik air itu?

JURAIMI: Selepas itu tiada. Selepas itu Affandi terus masuk
bilik amal dia. Affandi kemudian keluar dan membawa keluar
satu sampul surat. Dia kepit sampul surat itu.

KARAM: Apa ada dalam sampul surat itu?

JURAIMI: Saya tidak nampak.

KARAM: Ada Juraimi terima apa-apa arahan selepas itu?

JURAIMI: Saya ada bertanya kepada Affandi: "Macam mana
dengan mayat itu?" Affandi jawab: "Tanya ibu (Mona) dulu."
Affandi kemudian bertemu Mona dan datang balik serta
berkata: "Ibu (Mona) kata suruh tanam saja."

KARAM: Ada beri apa-apa?

JURAIMI: Affandi beri duit sebanyak RM180 dan berkata: "Bapak
(Affandi) hendak ke KL (Kuala Lumpur). Seminggu lagi bapak
akan balik."

KARAM: Dia pergi dengan siapa?

JURAIMI: Affandi pergi dengan Mona dan anak mereka. Apabila
mereka keluar dari rumah, saya keluar dari bilik itu dan kunci
pintu depan.

KARAM: Mereka pergi dengan apa?

JURAIMI: Kereta Datuk, nombornya CAA 5115.

KARAM: Juraimi terus tinggal di rumah itu?

JURAIMI: Ya, seorang diri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan