PERKAHWINAN bertujuan menyatukan dua insan dalam sebuah ikatan kasih yang diharap akan berkekalan sampai ke hujung nyawa. Susah senang, gagal atau berjaya dikongsi bersama dengan rasa penuh tanggungjawab asalkan hidup dapat diteruskan dalam suasana harmoni.
Pun begitu tidak semua perkahwinan membawa bahagia, ada yang derita hingga ke hujung usia dan ada juga yang patah di tengah jalan. Semuanya adalah suratan takdir dan tidak siapa mampu menolaknya.
Bagaimana pula dengan suami yang mendera isteri tetapi tidak mahu menceraikan isteri kerana ego dan tidak berhati perut?
Inilah kisah yang ingin saya kongsi dengan pembaca minggu ini, kisah Mazni (bukan nama sebenar) yang telah berkongsi hidup bersama suaminya, Roslan (bukan nama sebenar) selama tujuh tahun. Perkahwinan yang menjadikan Mazni terseksa jiwa dan raga, malah dia hampir mengalami tekanan jiwa dengan sikap suami yang teramat ego.
Kita ikuti cerita Mazni.
'Saya berusia lewat 30-an, bekerja sebagai seorang pegawai di sebuah syarikat insurans. Saya telah bernikah dengan Roslan, seorang penjawat awam selama tujuh tahun. Kami dikurniakan tiga orang anak berusia setahun, empat dan tujuh tahun.
'Kami bernikah atas pilihan keluarga. Saya tidak pernah kenal dia sebelum kami disatukan kerana ibunya yang beriya-iya mahukan saya sebagai menantu.
'Saya juga tidak tahu kenapa Roslan bersetuju dengan hajat ibunya, sedangkan dia tidak cintakan saya. Bagaimanapun, saya reda dengan ketentuan jodoh. Saya menerimanya dengan hati terbuka dan berusaha menjadi isteri yang baik dan solehah.
'Di peringkat awal pernikahan kami semuanya baik-baik belaka. Saya dilayan seperti mana suami lain melayan isteri. Apabila anak sulung kami lahir, suami mula buat hal. Perangainya mula berubah.
'Dia bukan kaki perempuan, tidak juga yang selalu keluar malam berfoya-foya. Masalah dengan suami saya, dia seorang yang panas baran dan suka memerintah.
'Saya sering diherdik, ditengking dan dimarahi tanpa sebab. Ada kalanya disebabkan masalah kecil, dia boleh menengking dan mengeluarkan kata-kata yang tidak enak didengar kepada saya. Pun begitu, saya masih bersabar sebab ingatkan anak-anak. Malah dia kerap memukul saya di hadapan anak-anak.
'Daripada panas baran, dia mula naik tangan. Sikit sahaja silap, saya akan ditampar. Pendek kata, saya tidak boleh buat silap. Itu pun saya sabar. Tidak sekalipun saya ceritakan kepada sesiapa termasuk ibu dan ayah saya dan keluarga.
'Di rumah, saya didera mental dan fizikal. Semua kerja rumah saya harus buat sendiri. Tidak ada pembantu rumah. Mengemas, memasak dan membeli keperluan rumah, saya yang kena buat. Dia hanya menjadi pemerhati.
'Bayangkan, setiap hari saya terpaksa bangun pagi untuk memasak, membasuh pakaian dan menghantar anak ke taska. Mujur dua orang anak yang bersekolah naik bas. Sering kali saya masuk kerja lewat kerana kesesakan jalan atau terlewat bangun.
'Sekali dua, mungkin terlepas tetapi kalau selalu, kawan-kawan pun tidak dapat membantu. Akhirnya saya diberi surat amaran kerana terlalu kerap datang lewat ke pejabat. Saya cuba bercakap dengan suami dan minta dia carikan saya pembantu rumah.
'Nak tahu apa jawapannya, awak kan ada. Awaklah jadi pembantu rumah. Itu pun tak boleh buat! Sedihnya hati saya, Allah sahaja yang tahu. Saya cuba memujuk tetapi gagal, dia berkeras yang kami tidak perlukan pembantu rumah kerana membazir katanya.
'Memang saya akui, saya boleh buat semua kerja. Tetapi dengan kudrat yang ada, saya tidak mampu lagi bertahan. Saya sering keletihan apabila balik ke rumah. Pergi menjemput anak-anak di taska dan rumah jiran. Dari pukul 6 pagi, saya keluar rumah, sampai di rumah hampir 8 malam. Bayangkan!
'Suami langsung tidak ada tolak ansur untuk membantu. Anak menangis pun boleh dibiarkan begitu sahaja. Saya juga yang terpaksa bergelut dengan anak dan kerja rumah. Anak-anak sedang membesar dan perlukan perhatian kami sebagai ibu bapa, itu pun dia tidak faham.
'Saya pelik dengan perangai suami. Bagaimana dia boleh tidak ada perasaan kasihan sedikit pun kepada saya. Bukan dia tidak nampak bagaimana kalutnya saya untuk buat semua kerja rumah.
'Balik rumah, saya perlu memasak untuk makan malam. Kalau saya tak masak, dikatanya saya malas dan tidak pandai melayannya. Serba tak kena dibuatnya!
'Mengenangkan sikap suami, hati saya menjadi luluh, saya sangat sedih. Sering kali saya menangis apabila mendengar cerita kawan-kawan pejabat yang mana suami mereka suka membantu buat kerja di rumah. Saya selalu berdoa agar satu hari nanti suami akan berubah dan mohon Allah lembutkan hatinya.
'Satu hari, ibu saya datang ke rumah. Saya ambil cuti kerana nak jaga hati ibu. Anak-anak sangat gembira apabila saya ada di rumah, sebab mereka tidak payah pergi ke rumah jiran selepas balik sekolah.
'Entah macam mana anak sulung saya yang berusia tujuh tahun memberitahu neneknya yang saya selalu kena marah dan pukul dengan ayahnya. Apa lagi, mengamuk ibu saya terutama setelah tanda lebam dan bengkak di lengan saya kerana baru ditampar oleh suami sehari sebelum ini.
'Saya mengelak daripada bercerita hal sebenar tetapi gagal sebab anak saya yang sulung itu petah bercerita dengan neneknya apa yang ayahnya selalu buat terhadap saya dan juga mereka. Saya tidak dapat berbohong lagi. Mahu tidak mahu saya terpaksa berterus terang.
'Malam itu juga, ayah dan abang saya tiba di rumah. Rupa-rupanya ibu telah menelefon mereka memberitahu apa yang telah berlaku kepada saya. Saya menangis apabila ayah dan abang bertanya hal sebenar. Saya akhirnya memberitahu mereka yang selama ini saya tidak bahagia dan banyak berahsia dengan mereka.
'Malam itu, sebaik sahaja Roslan balik ke rumah, dia terkejut melihat ayah dan abang saya ada di rumah. Dia menegur dan bertanya khabar tetapi ayah bersikap dingin. Ayah benar-benar marah dan mahu membuat perhitungan dan menyelesaikan masalah kami berdua malam itu juga.
'Setelah diasak dan ditunjukkan bukti tangan saya yang bengkak dan lebam-lebam, akhirnya Roslan mengaku akan perbuatannya. Dia meminta maaf kepada ayah dan abang di atas perbuatannya itu. Tetapi abah tidak dapat menerima.
'Abah tegur perbuatannya yang tidak berhati perut itu. Pada masa yang sama ayah minta dia bertaubat dan menyediakan segala keperluan rumah untuk saya dan anak-anak jika mahu terus bersama saya.
'Pertengkaran hebat berlaku antara abah, abang dan Roslan. Keluarga Roslan juga dipanggil untuk menyelesaikan perkara ini. Terkejut keluarga mentua saya dengan apa yang berlaku.
'Saya menangis semahu-mahunya menyaksikan perdebatan antara dua keluarga ini. Tidak siapa tahu apa yang saya tanggung selama ini. Keluarga mentua memarahi saya kerana menyimpan rahsia ini terlalu lama. Sepatutnya saya berterus terang dengan mereka atau keluarga saya.
'Saya rasa tidak ada seorang isteri yang mahu membuka keburukan suami kepada keluarga, lebih-lebih lagi jika si isteri sangat mencintai suaminya, begitulah juga dengan saya. Tetapi kehendak Allah tidak siapa menduga, dalam sekelip mata masalah rumah tangga saya tersingkap.
'Roslan macam orang bodoh. Dia dihembur dengan kata-kata yang bukan kepalang oleh ibu bapanya. Saya hanya berdiam diri dengan air mata yang berlinangan di pipi. Bukan niat saya bercerita kepada sesiapa.
'Akan tetapi Allah Maha Mendengar dan Melihat penderitaan saya. Hari itu, Roslan diberi pilihan sama ada membebaskan saya atau bertaubat dan berubah.
'Dia memilih untuk bertaubat dan berubah. Dia melutut di hadapan ayah dan ibu saya serta ibu bapanya meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapannya. Suasana sangat pilu.
'Saya meraung apabila Roslan memeluk saya dan memohon maaf atas keterlanjurannya selama ini. Katanya, dia tidak ada niat untuk menyeksa saya tetapi egonya mengatasi mindanya sebagai seorang suami yang perlu melindungi saya. Akhirnya keadaan kembali pulih.
'Suami diberi amaran keras oleh keluarga kami. Jika terjadi lagi perkara seumpama itu, dia tidak ada pilihan melainkan kehilangan saya dan anak-anak, itu kata dua yang abah dan abang saya berikan kepadanya.
'Alhamdulillah selepas peristiwa itu semuanya kembali tenang. Roslan berubah terus daripada perangai lamanya. Dia menjadi seorang suami dan ayah yang penyayang dan prihatin. Saya terasa seperti kami baru berkahwin dan memulakan kehidupan baru.
'Saya bersyukur dengan apa yang berlaku. Terutama peranan yang dimainkan oleh keluarga kami dalam menyelesaikan masalah ini. Terima kasih juga kepada anak saya yang membuka cerita kepada neneknya. Jika tidak, sampai bila saya akan terus terseksa pun, saya tidak tahu.
'Saya percaya, Allah menguji saya kerana Dia mahu memberi yang lebih baik untuk saya dan keluarga. Saya bersyukur dan berharap apa yang saya lalui akan menjadi teladan kepada pasangan suami isteri yang lain.
'Pesanan saya, sayangkan suami biar bertempat dan jangan sampai memudaratkan diri. Bertindak menjaga hak kita sebagai isteri jika tidak mahu menderita... saya telah menempuhnya dan saya tidak mahu anda pula melaluinya, demikian Mazni menamatkan ceritanya.
Menarik sungguh cerita Mazni. Jarang ibu bapa mahu mencampuri masalah rumah tangga anak dan menantu mereka. Tetapi keluarga Mazni bertindak bijak apabila bersemuka dengan suami Mazni dan keluarganya.
Inilah tindakan yang harus dibuat oleh ibu bapa apabila berdepan dengan krisis rumah tangga anak menantu. Bukan niat mengeruhkan keadaan tetapi menyelesaikannya dengan baik.
Semoga kes ini menjadi pengajaran buat Roslan dan Mazni dan didoakan agar kehidupan mereka sekeluarga dalam rahmat Allah hendaknya.
Mengundur diri, pesanan saya untuk pembaca budiman, di sebalik derita ada gembira, di sebalik bahagia ada air mata. Kembalilah kepada Allah apabila anda berada di persimpangan dalam mencari jalan pulang.
Salam
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20140419/ke_01/Anak-buka-rahsia-mak-didera-bapa#ixzz2za2DYOvz
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan